Bertemu lagi kita melaui entri terbaru yang akan
membincangkan mengenai hala tuju bidang perfileman serta video perkahwinan di
masa hadapan. Bagi peminat fotografi dan videografi dslr di luar sana, pastinya
anda begitu teruja dengan kecanggihan serta keupayaan kamera dslr untuk merakam
video serta menghasilkan mood seakan-akan filem yang dapat dicapai dengan harga
kos kamera yang lebih murah.
Tidak dapat dinafikan ciri video pada dslr telah memberi
nafas yang segar di dalam pembikinan video perkahwinan terutamanya serta telah
diguna pakai oleh banyak produksi untuk penggambaran drama. Walaupun pengendalian
kamera dslr ini tidaklah begitu mudah semasa merakam video, namun ianya seakan
menjadi satu kegilaan bagi para videografer untuk merakamkan kenangan indah di
dalam format yang lebih berkualiti dan kreatif.
Dengan penawaran model baru serta ciri-ciri yang ditambah
baik, maka industri video ini terus berkembang dengan pesat sehingga munculnya
lebih ramai juruvideo perkahwinan yang ingin mencuba nasib di dalam industri
ini. Baru baru ini Canon telah melancarkan model EOS 5D Mark III yang menjadi
penanda aras baru bagi video dslr di mana banyak ciri-cirinya ditambah baik
sebagai sebuah kamera video. Boleh dikatakan teknologi ini akan terus
berkembang dan memberi banyak pilihan kepada juruvideo untuk memiliki kamera
yang baik.
Namun apa yang ingin dibincangkan di dalam entri ini ialah
masa hadapan industri video berasaskan dslr. Boleh dikatakan kualiti videonya
semakin tidak dapat digugat dan menjadi kriteria yang dipertimbangkan oleh
bakal pengantin agar memori indah mereka dapat dirakam dengan baik. Selaras
dengan perkembangan teknologi kamera, maka model kamera terdahulu telah ditolak
ke bawah menjadi model permulaan bagi individu yang ingin memiliki kamera
peribadi. Sebagai contoh, jika dahulu model 550D merupakan model utama di dalam
industri namun kini ianya telah diturunkan menjadi model bawahan yang memiliki
fungsi video di mana ianya telah digantikan dengan model 60D, 600D dan
sebagainya.
Apa yang ingin penulis nyatakan di sini ialah, apabila model ini menjadi model permulaan
maka harganya juga telah diturunkan. Pada satu masa dahulu, kamera dslr
merupakan kamera yang tidak mungkin difikirkan oleh individu biasa yang tidak
pernah terlibat di dalam dunia fotografi. Namun apabila harganya telah
diturunkan sehingga hampir sama seperti kamera kompak lalu masyarakat
memandangnya sebuah pakej kamera yang berbaloi untuk dimiliki berbanding kamera
kompak biasa. Maka bermulalah era dslr di Malaysia sehinggakan kanak-kanak
kecil juga tanpa rasa ragu-ragu menggunakannya seperti sebuah kamera kompak.
Ini merupakan satu ancaman terhadap industri video di mana
orang ramai yang tidak terlibat di dalam videografi juga mampu merakam video
menggunakan dslr di samping mengambil gambar foto. Mungkin para juruvideo
merasakan ianya bukan satu masalah kerana tidak semua orang mampu merakam video
dengan baik serta kreatif. Namun begitu, harus diingat bahawa mungkin bukan
semua pelanggan mempunyai kewangan yang mencukupi. Bagi mereka yang tidak
mementingkan kesempurnaan, maka mereka boleh meminta pertolongan sanak saudara
yang meiliki kamera untuk merakam majlis mereka dengan bayaran upah yang lebih
rendah. Suntingan merupakan sati kisah lain tapi bagi mereka asalkan mereka
dapat merakam majlis tersebut terlebih dahulu sudah memadai. Andai mereka
mempunyai bajet lain di masa hadapan barulah proses suntingan akan dilakukan.
Penulis bukanlah hendak mengatakan bahawa juruvideo dslr di
sana perlu gulung tikar atau mencari kerja lain. Apa yang ingin disuarakan
ialah agar kita semua sebagai juruvideo dapat membuat persiapan serta membuat
peralihan bidang rakaman video agar skopnya tidak hanya tertumpu kepada video
perkahwinan sahaja.
Sebagai contoh, kamera dslr hanya dapat merakam klip video
untuk jangkamasa singkat 12 minit dan tidak dapat membuat rakaman terus
menerus. Kemudian, ia juga tidak sesuai bagi rakaman live feed dan juga MCP.
Ketiadaan 2 ciri penting ini telah menyebabkan DSLR tidak dapat bersaing di
dalam bidang yang lebih luas berbanding keupayaan HD nya.
Maka mungkin sudah sampai masanya kita beralih semula kepada
kamera video asli yang juga sudah menwarkan siri Full HD yang lebih baik dan
berkualiti. Mungkin harganya lebih mahal namun jika anda merupakan seorang
juruvideo sepenuh masa yang serius, maka ianya merupakan pelaburan yang baik
untuk anda. Laburkan juga sedikit wang anda untuk membeli kelengkapan lain
seperti switcher dan video komander agar keupayaan fungsi rakaman anda dapat
diperluaskan sehingga ke majlis yang lebih besar terutamanya event oleh
kerajaan.
Oleh itu, sama-samalah kita fikirkan hala tuju yang terbaik
untuk perjalanan industri video kita. Jika kreativiti yang menjadi keutamaan
maka DSLR lah pilihan untuk anda. Namun jika video merupakan nadi pendapatan
anda maka perlulah kita menilai semua model kamera lain yang lebih sesuai untuk
berjuang J
contoh ?
ReplyDelete